SHAH ALAM: Isu tumbang kerajaan sengaja dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) bagi mensabotaj usaha untuk memulihkan ekonomi negara selepas krisis semasa pandemik.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin berkata, usaha tersebut juga dilihat sebagai cubaan untuk mengganggu gugat kemasukan pelaburan ke dalam negara yang dilihat semakin rancak.

Menurutnya, keyakinan pelabur dari negara luar terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan dan jaminan pembangunan pesat ekonomi negara sepatutnya disambut baik kedua-dua belah pihak termasuk pembangkang.

“Namun apa yang berlaku pembangkang cuba merosakkan pembangunan ekonomi negara selepas mereka sendiri gagal ketika berkuasa.

“Sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga hari ini pelbagai usaha cuba dilakukan oleh PN dan Pas untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan melalui cara pintu belakang seperti yang dilakukan ketika Langkah Sheraton.

“Bukan sahaja pakar malah rakyat juga berpendapat usaha ini tidak akan berhasil memandangkan kerajaan hari ini sangat kukuh bukan sahaja dari segi jumlah malah hubungan dalaman parti sangat baik tanpa boleh diganggu gugat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Razeef memohon untuk semua pihak mengabaikan angan kosong pihak pembangkang itu dan isu tersebut tidak perlu dipanjangkan mahupun diangkat oleh semua pihak.

Jelasnya, PN dan Pas perlu menjadi pembangkang berkualiti dengan mengangkat isu rakyat dan bukannya sibuk mengguling kerajaan dengan cara kotor.

“Saya mengambil contoh isu air di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dilihat semakin teruk. Terdapat kawasan yang tidak ada bekalan air termasuk pada hari raya.

“Masalah air kotor yang tidak berpenghujung walau kerajaan pusat telah memberi peruntukan besar untuk menyelesaikan isu ini.

“Dari terus berpolitik adalah lebih baik pembangkang menyelesaikan masalah utama yang membelenggu rakyat di negeri mereka atau mereka pula yang akan diguling rakyat,” ujarnya. - Sinar Harian